PROFIL MALAYSIA

AGAMA

Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”. Perkara 11 mengenai Kebebasan Ugama pula menyatakan “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan ugamanya”. Ini bermakna walaupun Malaysia telah mengisytiharkan Islam sebagai agama rasminya, penduduk Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan kepercayaan, bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Kebebasan ini membentuk perpaduan yang kukuh antara kaumdan ini telah dibuktikan dengan keamanan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia selama ini.
masjid_putrajaya01  
Masjid Putrajaya

BAHASA RASMI

utamakanbahasamelayu
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai Bahasa Kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.
Kepentingannya sebagai bahasa ilmu yang menjadi medium pengajaran dan pembelajaran juga telah membawa kepada pewartaan Akta Pendidikan 1961 (Pindaan 1996). Namun pada masa yang sama bahasa-bahasa lain yang digunakan oleh bangsa-bangsa lain di Malaysia, bebas digunakan seperti bahasa Mandarin oleh orang Cina dan bahasa Tamil oleh orang India.
Selain itu bahasa Inggeris masih mendominasi bahasa perdagangan dan perindustrian negara. Kerajaan Malaysia juga menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa-bahasa antarabangsa yang lain khususnya untuk bidang pelancongan dan perdagangan antarabangsa.

BENDERA MALAYSIA

 

jalur-gemilang
Bendera merupakan lambang kepimpinan, simbol penghormatan, martabat  dan kewarganegaraan bagi sebuah negara. Setiap negara mempunyai bendera yang tersendiri untuk mewujudkan perasaan bangga terhadap tanah air. Bendera ditakrifkan sebagai sebidang kain yang diperagakan bagi menunjukkan tanda dan lambang kewujudan yang juga dikenali sebagai panji dan obor. Bendera dalam budaya Melayu biasanya dikaitkan dengan kedudukan golongan Diraja yang memerintah.
Terdapat 14 jalur merah dan putih melintang yang sama lebar bermula dengan jalur merah di sebelah atas dan berakhir dengan jalur putih di sebelah bawah. Jalur-jalur ini menandakan keanggotaan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan iaitu Kedah, Pahang, Kelantan, Johor, Perak, Perlis, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).
Warna merah pada jalur membawa makna gagah berani dan warna putih pula membawa makna suci murni. Warna kuning yang digunakan pada bulan dan bintang adalah warna Diraja yang melambangkan Raja-Raja Melayu. Gabungan tiga warna utama iaitu merah, putih dan biru melambangkan setiakawan Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom dan penyatuan Tanah Melayu dengan Negara-negara Komanwel.
Sejarah Bendera Malaysia Pada 29 November 1949, Majlis Raja-Raja dengan kerjasama Majlis Perundangan Persekutuan telah mengadakan pertandingan peringkat kebangsaan untuk memilih reka bentuk bendera bagi kerajaan yang bakal dibentuk. Dalam pertandingan tersebut, ciptaan Encik Mohamad bin Hamzah  (arkitek kerajaan Johor) dipilih sebagai pemenang.
Walau bagaimanapun reka bentuk bendera tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah diperkenankan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara. Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.
Sehubungan dengan itu, buat pertama kalinya Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan pegawai-pegawai King Goerge VI pada 26 Mei 1950. Selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963,
Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubahsuai sejajar dengan kemasukan Sarawak, Sabah dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu.
Walaupun Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, namun Malaysia masih mengekalkan ciri-ciri benderanya. Setelah berkibar megah sejak 1950, pada malam 31 Ogos 1997, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad yang merupakan Perdana Menteri ketika itu telah mengukir satu lagi sejarah apabila beliau mengumumkan nama baru bagi Bendera Malaysia iaitu JALUR GEMILANG.
Susunan Keutamaan Bendera
Susunan keutamaan Bendera Malaysia dan negeri-negeri ditentukan mengikut susunan keutamaan DYMM Raja-Raja Melayu dan TYT Yang Di-Pertua Negeri seperti yang termaktub dalam Perkara 70, Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, susunan keutamaan bendera yang diguna pakai bagi tahun 2009 adalah seperti berikut:-
1. Malaysia
2. Kedah
3. Pahang
4. Kelantan
5. Johor
6. Perak
7. Perlis
8. Selangor
9. Negeri Sembilan
10. Terengganu
11. Sarawak
12. Pulau Pinang
13. Sabah
14. Melaka
15. Wilayah Persekutuan

BUNGA KEBANGSAAN

 

hibiscus_garden_kuala_lumpurbunga_raya
Pada akhir tahun 1958, Kementerian Pertanian telah mengemukakan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan. Bunga-bunga berkenaan ialah bunga raya, bunga kenanga, bunga melur, bunga cempaka, bunga teratai, bunga mawar dan bunga tanjung. Untuk memilih bunga mana yang diangkat sebagai Bunga Kebangsaan, satu kajian telah dijalankan oleh Jabatan Penerangan untuk mendapatkan reaksi orang ramai.
Kajian ini dijalankan oleh unit-unit bergerak Jabatan Penerangan di seluruh bandar dan desa di Semenanjung Malaysia. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa penduduk Pantai Timur memilih bunga mawar manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur.
Walau bagaimanapun akhirnya kerajaan membuat keputusan untuk memilih bunga raya berdasarkan kriteria bunga raya yang sudah terkenal di seluruh negara, warna dan bentuk yang menarik, nama yang sama di seluruh negara, mudah didapati di seluruh Malaysia, dan yang paling penting bukan menjadi Bunga Kebangsaan mana-mana negara lain di dunia ketika itu.
Berdasarkan kriteria-kriteria tersebut, pada 28 Julai 1960, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan. Hari ini, pemilihan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan kelihatan begitu tepat kerana lima kelopak yang ada padanya melambangkan lima pecahan prinsip Rukun Negara dan bunga ini juga dilambangkan sebagai bunga perpaduan.
Berdasarkan kriteria-kriteria tersebut, pada 28 Julai 1960, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan. Hari ini, pemilihan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan kelihatan begitu tepat kerana lima kelopak yang ada padanya melambangkan lima pecahan prinsip Rukun Negara dan bunga ini juga dilambangkan sebagai bunga perpaduan.

DEMOGRAFI PENDUDUK

majmuk
Masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum.

Penduduk Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan keturunan. Kumpulan terbesar rakyat Malaysia terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Selain itu terdapat juga golongan bumiputera yang terdiri daripada kaum orang asli, dan pelbagai etnik yang terdapat di Sabah dan Sarawak. Antara etnik yang ramai bilangannya ialah Iban, Dayak, Kadazan, Bidayuh, Bajau, Murut dan Malanau. Berdasarkan laporan kiraan banci 2010 dari Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan bahawa jumlah penduduk di Malaysia adalah seramai 27,565,821 orang iaitu terdiri daripada 14,112,667 lelaki dan 13,453,154 perempuan.

GEOGRAFI

Malaysia merupakan sebuah Negara Bangsa yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ia meliputi 13 buah Negeri (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak) dan 1 Kerajaan Persekutuan yang terdiri daripada 3 buah Wilayah (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya).
Lokasi
Malaysia terletak berhampiran dengan Garisan Khatulistiwa iaitu Garisan Lintang 2º dan 7º Utara dan Garisan Bujur 100º dan 119ºTimur. Keluasan Malaysia meliputi 329, 961.22 kilometer persegi. Semenanjung Malaysia sahaja meliputi seluas 131,598 kilometer persegi, manakala, Sabah dan Sarawak adalah 198, 069.61 kilometer persegi.
Semenanjung Malaysia bersempadan dengan Negara Thailand (utara), Singapura (selatan), Sarawak bersempadan dengan Negara Brunei Darussalam dan Sabah bersempadan dengan Filipina. Laut China Selatan seluas 531.1 kilometer persegi memisahkan Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, Selat Melaka memisahkan Semenanjung dengan Sumatera, Indonesia dan Selat Teberau memisahkan Malaysia dengan Singapura.

JATA NEGARA

jata_malaysia

Jata Negara Malaysia merupakan lambang Persekutuan Tanah Melayu yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952. Reka bentuk Jata Negara telah diusahakan oleh Jabatan Ukur dengan menggunakan enam warna.
Jata Negara menunjukkan bintang pecah 14 menandakan 13 buah negeri dan sebuah Wilayah Persekutuan yang terkandung dalam Persekutuan Malaysia, dan Kerajaan Persekutuan. Bintang bersama-sama anak bulan pula sebagai lambang Agama Islam yang diangkat sebagai agama rasmi Malaysia. Lima bilah keris pula sebagai lambang Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Bahagian sebelah kiri perisai menandakan Pulau Pinang dan bahagian sebelah kanan dengan pokok Melaka mewakili Melaka. Kedua-dua buah negeri tersebut adalah sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat suatu ketika dahulu. Dalam empat jalur yang sama besarnya dalam bahagian tengah itu; warna-warna hitam dan putih adalah warna Pahang; merah dan kuning warna Selangor; hitam, putih dan kuning warna Perak; merah, hitam dan kuning adalah warna Negeri Sembilan. Empat buah negeri ini adalah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang asal. Dua ekor harimau juga merupakan lambang bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Tiga bahagian di sebelah bawah itu menandakan negeri Sabah di sebelah kiri dan Sarawak di sebelah kanan. Di tengah-tengahnya ialah bunga raya yang merupakan Bunga Kebangsaan Malaysia. Cogan “Bersekutu Bertambah Mutu” ditulis dengan tulisan rumi di sebelah kiri dan tulisan jawi di sebelah kanan. Warna kuning pada awan-awan adalah warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

LAGU KEBANGSAAN

Negaraku
Tanah tumpahnya darah ku
Rakyat hidup bersatu dan maju
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta
Rahmat bahagia Tuhan kurniakan
Raja kita selamat bertakhta
Sejarah Lagu Negaraku
Lagu Kebangsaan dicipta pada tahun 1957 dan pemilihan lagu ini dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Irama “Negaraku” dipetik daripada irama lagu negeri Perak. Lagu negeri Perak pula mendapat ilham asal daripada lagu “Terang Bulan” yang merupakan lagu yang amat disukai oleh Sultan Abdullah, Sultan Perak, ketika baginda dalam buangan di Pulau Seychelles. “Negaraku” menekankan taat setia dan perpaduan rakyat untuk kemajuan negara. Lagu ini berperanan untuk membangkitkan semangat patriotik dan cintakan tanah air.
Idea untuk mencipta Lagu Kebangsaan timbul ketika negara sedang bersiap menyambut hari kemerdekaan. Lagu Kebangsaan perlu diperdengarkan dalam upacara pengisytiharan kemerdekaan yang ditetapkan pada 31 Ogos 1957.
Lantaran itu, pada bulan Februari 1957, satu pertandingan mencipta lagu rasmi telah diadakan. Namun empat lagu akhir yang telah disenarai pendek telah ditolak oleh Jawatankuasa Khas Pemilihan Lagu Kebangsaan (JKPLK) yang diketuai sendiri oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebaliknya mengesyorkan lagu Negeri Perak sebagai asas bagi mencipta Lagu Kebangsaan Negara Malaysia. Cadangan itu telah dipersetujui oleh ahli JKPLK yang lain.
Skor lagu “Negaraku” telah disediakan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkestra Radio Malaya), D.S.P Croff (Pengarah Muzik, Pancaragam Polis Diraja), Kapten Lenthall (Pengarah Muzik, Pancaragam Askar Melayu, Port Dickson) dan A.T Reed (Ketua Pengarah Radio Malaya). Seni kata Lagu Kebangsaan “Negaraku” telah disediakan oleh satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan persetujuan Sultan-Sultan Tanah Melayu.
Lagu Kebangsaan “Negaraku” diperdengarkan buat julung kalinya pada 31Ogos 1957, di Padang Kelab Selangor. Pada malam tersebut, bendera Union Jack telah diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu, diiringi dengan Lagu Kebangsaan “Negaraku”. Bermula dari detik inilah, lagu “Negaraku” terus kekal menjadi lagu rasmi negara.

MATA WANG

ringgit_malaysiasyiling
Ringgit Malaysia ialah unit mata wang Malaysia dengan kod mata wang MYR. Ringgit mempunyai wang kertas bernilai RM100, RM50, RM10, RM5, RM2 dan RM1 serta syiling, 50 sen, 20 sen, 10 sen, dan 5 sen. Nama “Ringgit” berasal daripada sisi bergigi wang perak Sepanyol yang digunakan secara meluas pada zaman dahulu. Mulai bulan Ogos 1975, nama “Ringgit” diterima secara rasmi sebagai nama khas mata wang Malaysia. Sebelumnya, wang dikenali sebagai dollar dalam Bahasa Inggeris dan ringgit dalam Bahasa Melayu. Namun penggunaan simbol $ terus digunakan sehingga ditukar kepada RM pada 1990an dan terus digunakan sehingga ke hari ini.

RUKUN NEGARA

Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang Ke-13. Rukun Negara diperkenalkan berikutan Peristiwa 13 Mei 1969 yang melemahkan perpaduan antara kaum di Malaysia. Rukun Negara dibentuk dengan tujuan utama iaitu membentuk perpaduan yang kukuh. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia.
Bahawasanya Negara Kita Malaysia mendukung cita-cita hendak:
Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakatnya;
Memelihara satu cara hidup demokratik;  Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;
Menjamin satu cara hidup yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak;
Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden;
MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut:-
Kepercayaan Kepada Tuhan
Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan

RINGKASAN SEJARAH MALAYSIA

Sejarah Malaysia dikatakan bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada masa kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana kedudukannya yang strategik iaitu titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat. Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Melaka kerana rajanya sendiri telah memeluk agama tersebut.
Pada tahun 1511, Melaka jatuh ke tangan Portugis dan bermula daripada tahun inilah Tanah Melayu berada dalam era penjajahan. Selepas itu, Tanah Melayu jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641 dan akhirnya jatuh pula ke tangan British pada tahun 1824 melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Penjajahan British merupakan penjajahan paling lama. British telah mencampuri semua urusan pentadbiran Tanah Melayu yang sebelum ini diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan.
Beberapa individu bangkit menentang penjajah namun oleh kerana usaha mereka lebih kepada bersifat perseorangan maka penentangan tersebut dengan mudah dipatahkan oleh British. Antara tokohyang bangun menentang penjajah ialah Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Rentap, Datuk Maharajalela, Rosli Dobi dan beberapa tokoh yang lain.
Semangat Nasionalisme
Pada era 1920-an dan 1930-an, ramai penduduk Tanah Melayu mula mendapat pendidikan, sama ada dari Timur Tengah atau pendidikan tempatan. Hasilnya, Rahman telah memberi sinar Melayu mentadbir sendiri negaranya” muncullah golongan berpendidikan yang mula memperjuangkan semangat nasionalisme. Mereka menggunakan media seperti akhbar dan majalah untuk menyebarkan ideologi masing-masing. Ada dalam kalangan mereka telah membentuk persatuan seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang bermatlamat mengusir penjajah dan membentuk kerajaan
sendiri.
Ketika rakyat negara ini begitu bersemangat untuk menamatkan penjajahan, mereka dikejutkan dengan pendaratan Jepun pada penghujung tahun 1941 yang menandakan bermulanya satu lagi era penjajahan di Tanah Melayu. Jepun telah menduduki Tanah Melayu sehingga tahun 1945 sebelum menyerah kalah ekoran pengeboman Hiroshima dan Nagasaki.
Pengunduran Jepun telah memberi ruang kepada Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menguasai Tanah Melayu. PKM telah bertindak ganas dengan membunuh dan memusnahkan harta benda awam dengan sewenangnya sehingga memaksa British mengisytiharkan darurat di Tanah Melayu (1948-1960).
Keganasan PKM tidak berjaya menakluki Tanah Melayu dan British kembali berkuasa. Sekembalinya British selepas pendudukan Jepun, mereka cuba memperkenalkan Malayan Union. Pengenalan ini telah mendapat tentangan yang hebat dan menyeluruh daripada penduduk tempatan. Pada 11 Mei 1946, penubuhan UMNO telah menyemarakkan lagi penentangan tersebut dan seterusnya menyemai bibit-bibit perjuangan ke arah berkerajaan sendiri.
merdeka
Tanggal 31 Ogos 1957 Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya
Kemerdekaan Tanah Melayu
Kemunculan Tunku Abdul Rahman telah memberi sinar harapan kepada perjuangan penduduk Tanah Melayu ketika itu apabila tindakannya membentuk Parti Perikatan mula membuka mata British untuk membenarkan pendudukan Tanah Melayu mentadbir sendiri negaranya. Perpaduan antara tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India telah menampakkan hasil apabila Perjanjian London yang ditandatangani pada 8 Februari 1956 telah memberi petanda bahawa Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957.


Setelah kemerdekaan dicapai, timbul pula masalah berhubung dengan penubuhan Malaysia yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura. Penentangan terhadap penyatuan ini datang daripada Parti Rakyat Brunei, Indonesia dan Filipina. Walau bagaimanapun hasrat untuk membentuk sebuah negara yang dinamakan MALAYSIA tercapai pada 16 September 1963.
(sumber : www.pmr.penerangan.gov.my) 

No comments:

Post a Comment